Wednesday, August 27, 2008

Persidangan Mahasiswa Islam Sedunia (PERMIS 08)

Madinah Nasr Kaherah 25 dan 26 Ogos 2008- Selama dua hari telah sempurnalah perjalanan program persidangan mahasiswa Islam sedunia (PERMIS) dengan tema Temukan Idea, Mendepani Massa yang di adakan buat julung-julung kalinya di bumi Mesir yang bertempat di dewan kristal sally mall Madinah Nasr Kaherah. Perasmian persidangan kali ini di rasmikan oleh penasihat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) Ustaz Hafiz Mansor. Pada tahun 2007 program yang sama telah di jalankan di dewan solah kamil Kaherah, akan tetapi terbatas kepada mahasiswa Malaysia yang berada di timur tengah sahaja, iaitulah (PERMIT 07) ataupun persidangan mahasiswa islam timur tengah 2007.
____________________________________

Pada persidangan kali ini, pihak penganjur telah berjaya menjemput beberapa delegasi persatuan mahasiswa untuk membentangkan kertas kerja masing-masing pada hari selama persidangan berlangsung. Persatuan-persatuan mahasiswa yang dapat menghantar wakil ke persidangan tersebut antaranya ialah dari negara Jordan, Syria, United Kingdom, Yaman dan Morocco. Walaupun pada asalnya pihak penganjur iaitu PMRAM telah menjemput lagi 3 wakil persatuan mahasiswa dari Jepun, Britain dan Amerika Syarikat, akan tetapi atas masalah yang tidak dapat dielak kan persatuan mahasiswa dari negara-negara tersebut tidak dapat menghantar wakil mereka. Pun begitu, persidangan tetap dapat di teruskan dengan sempurna sehinggalah ke perasmian penutup program.

Antara tajuk-tajuk kertas kerja yang di bentangkan oleh setiap wakil delegasi termasuk dari Mesir sendiri ialah seperti berikut:

-Mesir: Teori Feqh I'tilaf.
-Syria: Tajdid Dalam Kesatuan Berfikir dan Bekerja.
-Jordan: Pemikiran Al-Qardhawi Dalam Memandu Kebangkitan Ummah
-Yaman: Menangani Gerakan Dan Mangsa Murtad.
-Morocco: Peranan Ulama' Dalam Mendepani Modenisasi Di Malaysia.
-United Kingdom: Pengukuhan Ekonomi Dan Kepentingan Kepada Gerakan Islam.

Persidangan yang berlangsung selama 2 hari agak menghangatkan suasana dewan hasil dari komitmen yang di berikan oleh setiap wakil delegasi dan peserta program. Daripada persidangan yang berlangsung selama 2 hari di Dewan Kristal Sally Mall Madinah Nasr Kaherah, maka wujud dan terhasillah resolusi Persidangan Mahasiswa Islam Sedunia 2008(PERMIT 08) yang akan menjadi panduan kepada setiap mahasiswa islam dalam menyampaikan dakwah dan memimpin masyarakat Malaysia ke arah sistem dan undang-undang yang bersuluhkan Deen Al-Islam yang melihat kemodenan dan ketamadunan itu perlu berjalan seiring dengan keperluan rohani, tidak hanya berdasarkan materialistik semata-mata.

Walaupun pendaftaran untuk bersidang bersama-sama delegasi yang hadir dikenakan sebanyak L.E 40.00 Pound egypt bagi setiap seorang, para peserta dari kalangan ikhwah dan akhwat dapat menunjukkan komentar dan reaksi yang amat baik dengan soalan-soalan dan cadangan yang bernas semasa sesi munaqasyah kertas kerja berlangsung. Perasmian penutup persidangan pada kali ini di rasmikan oleh Ustaz Asri selaku salah seorang badan penasihat Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) pada jam 5 petang waktu Mesir.Maka dengan rasminya berakhirlah persidangan yang penuh gilang-gemilang selama 2 hari berlangsungnya program tersebut. Persidangan yang berikutnya akan di jalankan pada tahun hadapan di tempat dan tarikh yang tidak dapat di ketahui lagi. Jangan lepaskan peluang untuk menyertainya pada tahun hadapan, isyaAllah tidak akan ada kerugian yang di dapati, malahan memperolehi manfaat yang amat banyak semasa dan selepas tamatnya bersidang. Wallahua'lam.

Thursday, August 21, 2008

Bangunan Parlimen Mesir terbakar

KELIHATAN asap tebal dari bangunan Parlimen Mesir yang terbakar, semalam.
- Reuters


KAHERAH 20 Ogos - Sekurang-kurangnya 13 orang terpaksa dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas apabila bangunan Parlimen Mesir terbakar, semalam.
Pihak berkuasa terpaksa menggunakan helikopter tentera bagi membantu berpuluh-puluh jentera bomba memadamkan kebakaran.
Kebakaran itu bermula kira-kira pukul 10.30 malam tadi waktu Malaysia.
Api dikatakan merebak dari tingkat dua ke tingkat tiga bangunan itu dan merosakkan bahagian arkib, sebelum ia dapat dikawal.
Saksi berkata, asap tebal boleh dilihat menyelubungi bahagian atas bangunan itu yang terletak di pusat bandar ini dan berhampiran dengan bangunan kerajaan dan kementerian.
Speaker Parlimen, Fathi Surur berkata, punca kebakaran belum diketahui.
"Pasukan teknikal akan datang untuk menyiasat punca kebakaran," katanya.
Beliau berkata, kebakaran itu turut memusnahkan beberapa dokumen penting.

-Sumber Utusan Malaysia Online-

Tuesday, August 19, 2008

.::Kemerdekaan::.

"Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu kenikmatan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu kenikmatan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang."


Aku cuba menghayati maksud di sebalik baris-baris ayat nukilan seorang mujahid Islam ini. Entah mengapa aku rasakan bagai ada satu perasaan yang begitu besar dan begitu intim di sebalik kata-kata ini. Terasa iri melihat seseorang mampu merakamkan perasaannya dengan begitu fasih. Terasa iri melihat seseorang mampu meneroka dan menjiwai hikmah di sebalik kitab suci yang ulangkali aku tatap saban hari dan tahun.

Romantis baris-baris kata di atas terkandung satu persepsi bagi seorang yang hidupnya mujahadah memahami al-Quran dan menjadikannya pakaian kehidupan. Meski takkan pernah sama pengalaman yang bakal dihadapi oleh seseorang dari seseorang yang lain; namun perasaannya tidak berbeza. Itulah sebab yang menyatukan seseorang dengan seseorang yang lain walau pengalaman yang ditempuh berbeza. Itulah hakikat yang menyentuh hatiku untuk menghargai nukilan baris-baris kata yang penuh makna ini.

Memerdekakan
Aku mendoakan kesejahteraan mujahid Islam ini atas perkongsian perasaan yang penuh makna ini. Ianya menghantar keluar cebisan-cebisan kecamuk jiwa yang senantiasa berperang mencari teman seperjuangan di dalam era penuh fobia hari ini. Ianya suatu kenyataan yang memerdekakan jiwa dari anasir-anasir jahat yang merosakkan dan membinasa.

Menurut Tariq Ramadhan, revivalis Islam bumi eropah, terdapat dua jenis manusia yang merdeka. Golongan yang pertama memerdekakan diri berbekalkan ilusi bahwa dirinya cukup gagah mendepani dunia dengan segala daya usaha dan perahan mindanya penuh tegar menjunjung egonya. Golongan yang kedua memerdekakan dirinya tanpa rasa malu untuk menerima hakikat bahwa dirinya lemah dan perlukan panduan dan bantuan daripada suatu kuasa besar yang bergelar Tuhan. Ternyata di dalam mana-mana peperangan sekalipun, hakikat akan sentiasa menewaskan ilusi. Mereka yang sangsi mengecap ilusi, mereka yang tekad mengecap hakikat.

Marilah kita mengecapi hakikat Islam yang meluhur, memberkat dan membersihkan usia. Sesungguhnya sembah sujudku hanya pada Allah SWT.

Kerna sayangku

"Apalah cerita melayu ni. Ntah apa-apa. Jalan cerita asyik sama je. Stereotype betul!" Ujar seorang sahabat sambil beberapa orang lain menyambut dengan hilaian ketawa.

"Biasalah...orang melayukan simple-minded! Sebab tulah sampai sekarang tak maju-maju. Masih di takuk lama. Asyik kena tipu je! Kalo tak percaya tengoklah pilihanraya kali ni apa yang berlaku." Tambah seorang sahabat yang lain sambil menunjukkan wajah tidak berpuas-hati.

"Hey, dah lupa ker? Melayukan..."
"...mudah lupa!!!" Kedengaran serentak kalimah itu dilafazkan daripada bibir-bibir pelajar cemerlang yang kini menuntut di universiti terkemuka. Mereka ini golongan yang diuar-uarkan sebagai generasi harapan bangsa dan negara. Hilaian tawa terus bergema.

......................................
Nilaian Bangsa
Kadang-kadang aku hairan apabila anak-anak bangsaku sendiri dengan bangga dan megah menghina bangsa sendiri tanpa sekelumit rasa malu dan bersalah. Kritikan dan hinaan dihamburkan ibarat hujan panas di tengahari. Tidak lebat namun meredahinya mampu membuatkan seseorang itu tersiksa menanggung demam berhari-hari. Tidak sesyahdu hujan tatkala malam namun cukup perit tatkala cahaya mentari menyaksikan anak bangsa mengkhianati bangsa sendiri di khalayak tanpa selindung sembunyi. Ke mana hilangnya rasa segan tatkala membuka aib warga saudara sendiri? Ke mana hilangnya rasa sakit tatkala menjamah jasad bangsa sendiri?

Aku melihat anak bangsaku berkobar-kobar melaungkan semangat cintakan saudara semuslim. Alhamdulillah. Syukurku kepada Allah SWT atas limpah rahmatNya mengurniakan nikmat ukhuwah yang semulia itu. Namun, aku masih meyakini bahawa naluri manusiawi yang dikurniakan Allah SWT masih menghargai nilai ukhuwah sebangsa apatah lagi apabila bangsa itu mengimani akidah yang sama.

Aku merasa sedih mengenangkan anak bangsaku tidak menghargai nilaian bangsa yang dikurniakan Allah SWT kepada hambaNya. Sungguhpun nilaian bangsa ini bukanlah untuk dibangga dan dijulang tanpa kenal batasan; sungguhpun nilaian bangsa ini bukanlah untuk merendahkan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain, hakikat bahawa ianya satu pertalian tidak-boleh-ubah merupakan satu kurniaan yang harus direnung dan diperhatikan dengan baik bagi golongan yang benar-benar ingin berfikir. Sesungguhnya Allah SWT tidaklah menciptakan bangsa itu tanpa sebab dan tanpa faedah.

Sayangilah anak bangsamu
Aku diajar bahawa pukulan ayah, ibu dan guru itu adalah pukulan kasih dan sayang. Bila aku meningkat dewasa, aku belajar untuk menerima bahawa kritikan dan teguran pedas daripada para ilmuan dan bijak-pandai juga merupakan tanda sayang mereka kepada golongan yang ditegur.

Namun samakah nilaian kritikan bernada sinis dan kritikan yang penuh kebijaksanaan?
Samakah nilaian teguran yang statik dan teguran yang bersifat menggerak?
Samakah nilaian pandangan yang disarangi rasa benci dan pandangan yang dihiasi rasa kasih sayang?

Melihat keruntuhan moral dan akhlak anak bangsaku yang terpersona dengan kilauan dunia membuatkanku sedih. Namun, lebih menyedihkan lagi bagiku apabila menyaksikan anak bangsaku yang bijak pandai terpesona dengan ketinggian ilmu yang dimiliki lantas memandang enteng usaha anak bangsa sendiri yang tidaklah segah mana. Lebih parah lagi luka dihatiku melihatkan anak bangsaku yang cerdik pandai hanyut di dalam lautan ketinggian ilmu sendiri hingga tidak sanggup menghulurkan tangan menyambut lambaian tangan-tangan bangsa sendiri yang kelemasan dek menjadi mangsa keadaan yang tidak mereka minta.

Ayuh anak bangsaku yang bijaksana, jadilah cermin kepada bangsamu yang semakin hilang harga diri. Serulah mereka dengan panggilan penuh kasih sayang. Pimpinlah tangan mereka ke arah cahaya. Bertegaslah dengan mereka dengan penuh semangat kebapaan. Buanglah rasa sangsi terhadap keupayaan anak bangsamu untuk berubah ke arah kebaikan. Contohilah pejuang kebenaran yang melontarkan kata hikmat:

"...aku rela berkorban agar anak bangsaku mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat...aku rela untuk menanam rasa percaya kepada anak bangsaku walau untuk kecewa untuk kesekian kalinya...aku lebih rela kecewa daripada tidak menyumbang apa-apa."

Wallahua'lam.