Friday, June 26, 2009

.::Ada apa pada PROTAZ??::.

Bismillah wal hamdulillah

Protaz berasal daripada dua frasa yang tidak asing bagi mana-mana masyarakat Malaysia iaitu PROFESSIONAL dan USTAZ yang pernah menjadi isu di malaysia lewat ini dan masih lagi diperkatakan bagi mereka yang memandang serius akan perkara berkaitan isu PROTAZ.

Seorang sahabat saya menerangkan apa itu yang di maksudkan dengan frasa protaz, Katanya yang dimaksudkan dengan Protaz ialah seseorang yang bukan dari kalangan agamawan berhujjah ataupun menyampaikan sesuatu perkara kepada masyarakat seolah-olah dia juga pernah mendalami ilmu agama seperti ustaz-ustaz yang selayaknya menyampaikan perkara tersebut. Walhal ilmu berkaitan agama yang diperolehi dan disampaikannya kepada masyarakat hanyalah sekadar dari kajian bahan bacaan yang amat banyak dan senang diperolehi di mana-mana kedai buku berdekatan anda.

Ini bermakna anda juga mampu untuk menjadi seorang agamawan dengan hanya membaca bahan-bahan bacaan berkaitan agama dan langsung menyampaikan pandangan anda berkaitan agama kepada masyarakat di sekeliling anda! Juga cukup hanya sekadar memasuki krusus atau apa jua kelas pengajian agama yang hanya memakan masa yang singkat untuk menjadikan seorang Professional kepada ustaz!

Jadi apa gunanya ribuan pelajar malaysia yang bertebaran di segenap pelusuk dunia untuk mendalami ilmu agama islam itu sendiri jika hanya sekadar membuat kajian bacaan sahaja sudah cukup untuk memahami islam dan menyampaikan kepada manusia lain? Hinggakan hasil dari bacaan sahaja si pembaca juga sudah mampu untuk menafsirkan ayat Al-quran mengikut pandangannya dan mengupas beberapa perkara berkaitan hukum dalam islam.

Jika anda seorang doktor atau jurutera atau apa jua profesion selain dari jurusan agama, atas hujjah apakah yang anda ingin tegakkan jika anda mahu berkata-kata segala perkara berkaitan agama? Anda ingin menyebarkan dakwah berkaitan islam kepada masyarakat diluar sana, tetapi ilmu berkaitan agama yang anda pelajari hanya anda perolehi dari bacaan dan tazkirah di surau atau di mana jua platfrom berkaitan agama itu di sampaikan dalam masa yang singkat.

Ada juga yang akan berkata begini, "Kami juga mahu melihat dan mengajak masyarakat di dorong ke arah kebaikan seperti yang telah di syariatkan islam.." Persoalannya, adakah setiap frasa yang saya postingkan diatas menghalang anda berbuat demikian? Tidak sekali-kali bahkan sememangnya saya mengharapkan yang sedemikin kerana anda juga sudah bergelar dai'e jika terdetik di hati anda untuk membuat perubahan ke atas masyarakat kita di malaysia umumnya.

Jadi mengapa setiap frasa di atas terlalu sinikal? ini jawapan saya untuk mereka-meraka yang sudah berjaya bergelar protaz, mungkin juga ada frasa baru yang akan wujud selepas ini iaitu prozah, Professional dan ustazah.

Sahabat yang di rahmati sekalian,
Rahmat dan nusrah Allah sentiasa bersama kalian jika kalian benar-benar ingin melihat islam ini tertegak dan berusaha untuk dilaksanakan syariatnya kepada masyarakat disekeliling kita. Saya juga amat menyanjungi sahabat sekalian jika apa yang sahabat sampai dan sajikan adalah perkara berkaitan islam untuk masyarakat lebih diterima berbanding para agamawan, cuma sahabat harus faham di mana kondisi sahabat bila berkata-kata mengenai islam.

Apakah profesion yang sahabat belajar selama ini membenarkan sahabat semua berhujjah mengenai hukum-hukum dalam islam itu sendiri? Menyampaikan hujjah berkaitan agama dengan tidak mengetahui ayat Quran yang nasakh dan mansukh? Menafsir Quran mengikut pandangan sendiri tanpa mempelajari ilmu yang lima belas itu? Mampukan dengan Islam yang hanya dipelajari dan difahami hasil dari bacaan itu sudah cukup untuk mengubah gaya hidup masyarakat kita?

Persoalannya, adakah mereka yang berprofesionkan selain agama ini sudah hilang daya dalam seni berdakwah bila tidak berkata-kata apa jua perkara yang menyentuh tentang isu hukum dalam islam dan menafsir ayat-ayat Allah? Di manakah rasa takut itu akan wujud bila apa yang kita sampaikan tidak mencapai matlamatnya bahkan menyesatkan masyarakat yang menerima apa jua pandangan kita berkaitan islam?

Sahabat sekalian, ketahuilah bahawa islam itu SYUMUL. Di kalangan professional juga terpundak amanah ini jika mahu mendaulatkan islam di bumi Malaysia atau dimana jua, Tapi ada batasan yang mesti tidak dapat tidak sahabat perlu berjaga dalam menyampaikan islam kepada masyarakat. Amat salah dari segi etika kita dalam berdakwah jika kita menyampaikan sesuatu yang kita bukanlah ahli dalam perkara tersebut. Ditakuti kitalah penyebab akan kerosakan umat yang lewat ini tercari-cari akan indahnya islam itu.

Seorang sahabat saya juga ada mengadu akan isu protaz ini sebentar tadi, katanya: " Wah.. Sekarang ni siapapun sudah boleh mengeluarkan fatwa hasil dari kajian yang diperolehi dari bacaan sahaja! Krusus dua tiga bulan dah boleh jadi ustaz! Kita yang belajar berhadapan dengan sheikh ni pun tak dapat nak buat macam tu lagi kan imran?"

Mahu atau tidak itulah hakikat dan realiti yang saya dan rakan terpaksa hadapi lewat ini. Bertahun kami berusaha bagi menjadi ahli yang faham dalam agama ini untuk disampaikan buat masyarakat satu masa nanti, tiba-tiba timbul isu yang mana islam itu boleh di dapati di kedai-kedai buku sahaja! Isu protaz ini cuba saya jadikan sebagai muhasabah bagi mahasiswa azhari di dalam mencari dan mencapai tahap yang terbaik bagi memahami islam dengan lebih mendalam untuk di sampaikan buat masyarakat kelak.

Sejujurnya entri ini bukanlah cubaan saya untuk mewujudkan jurang dikalangan agamawan dan professional itu sendiri, yang setulusnya tiada beza di antara dua kelompok ini. Hanya membezakan kita adalah ketakwaan terhadap Allah S.W.T. Kita mampu bergerak seiring dalam memandu masyarakat kearah yang lebih baik jika kita tahu di tahap mana kondisi dan etika kita dalam menyampaikan dakwah akan islam yang amat luas pentasnya di dunia ini.
Wallahu'alam.

Firman Allah taala dalam surah An-nisa' ayat 58

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)

P/s : Sila klik sini untuk mengetahui lebih lanjut..

Tuesday, June 23, 2009

Khas Buat Semua Rakan Blogger

Satu lontaran soalan yang pernah saya terima satu ketika dahulu, Adakah setiap tokoh penulis islam di atas dunia ini dapat mengegarkan dunia dengan penulisan mereka jika hanya mengisahkan tentang kehidupan seharian masing-masing?


Satu ungkapan yang seakan-akan serupa dengannya pernah juga diterima oleh saya dan rakan-rakan yang ada bersama saya ketika itu merasakan agak tergamam dan terkilan dengan pandangan dari seorang rakan yang terlalu menghujum bagi sesiapa sahaja yang ada bersama ketika itu dan yang hanya tahu mempublishkan apa jua agenda di dalam seni penulisan bagi menyampaikan maksud dakwah itu sendiri di dalam dunia penulisan (blogger) sebagai salah satu wadah dalam menyampaikan dakwah buat sesiapa jua yang membaca.

Saya merungkai perkara ini di dalam persepsi sebagai seorang mahasiswa Al-azhar, mungkin ada rakan yang lain di luar sana bersama-sama saya ketika itu amat tidak bersetuju dan menganggap tidak wajar bagi sesiapa yang mahu mengkritik penulisan orang lain dengan membuat beberapa kesimpulan yang hanya menyentuh dari beberapa aspek pandangan kasar sahaja dan tidak mendalami dengan sedalamnya apakah maksud seseorang itu menulis apabila diberikan ruang dalam dunia penulisan (Blogger) yang teramat luas definisinya bagi sesiapa yang mengetahui etika dalam dunia penulisan itu sendiri.

Saya ingin mengajak rakan-rakan sekalian mengenang kembali akan salah seorang tokoh pejuang yang tidak asing lagi dalam dunia islam di nusantara pada era kegimilangan beliau. Beliau yang di maksudkan ialah Haji Abdul Malik Bin Abdul Karim Aminullah, atau lebih sinonim dengan panggilan Professor Buya Hamka. Beliau adalah seorang tokoh penulis, sasterawan, ulama dan pendakwah islam yang progresif dan menjadi sanjungan masyarakat nusantara pada masa itu.

Saya yakin ramai dikalangan kita yang tahu bahawa beliau adalah seorang tokoh pejuang yang amat banyak jasanya pada islam pada era tersebut. Bahkan beliau juga lebih dikenali lewat karya-karyanya yang berunsur dakwah dan kaya dengan falsafah keagamaan juga kasih sayang. Lantas, saya juga percaya ramai dikalangan kita yang meletakkan beliau sebagai idola dalam dunia penulisan kreatif sebagai salah satu medan untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat umumnya lantas kepada dunia khususnya insyaAllah.

Sejujurnya saya menyorot kembali kepada sejarah kegemilangan Prof Buya Hamka ini dengan tujuan menerapkan setitis rasa sedar dan mengingati kembali kepada sejarah kegemilangan tokoh-tokoh penulis Islam. Menulis adalah salah satu jihad yang harus kita fahami, andai rasa tanggung jawab itu saban hari mengasak jiwa dan sesitiviti kita sebagai umat islam, maka ia akan sentiasa segar di dalam roh kita sebagai mukmin yang mengaku beriman akan segala perkara yang di fardhukan keatas kita.

Andai tiada yang telus meluahkan pandangan serta begitu taksub dengan satu pandangan sahaja dan tiada yang sudi memindahkan ilmu didalam dada keatas kertas atau apa jua platfrom yang boleh dijadikan dan disampaikan melalui penulisan, bagaimana nikmat Islam itu telah kita kecapi pada hari ini? Jika Allah Taala tidak mengilhamkan kepada Saidina Omar untuk mencadangkan kepada Saidina Abu Bakar agar dikumpulkan Al-quran itu pada satu tempat dengan batuan Zaid bin Thabit untuk menulis semula suhuf-suhuf Al-quran yang berselerakan itu kepada mengumpulkan menjadi satu tempat sahaja, jalan apakah lagi yang lebih mulia selain dari penulisan tersebut? Sesunguhnya Allah itu maha mengetahui akan keadaan yang belum terjadi dan yang akan terjadi pada masa hadapan.

Saya juga akui, ramai dikalangan kita (Bloggers) yang masih mencuba dan berusaha sebaik mungkin dalam menyampaikan dakwah berbentuk penulisan atau sebaliknya. Namun untuk mencapai tahap yang terbaik dalam mengupas segala isu yang bergolak tidak kira di mana jua ia berlaku bukan satu perkara yang mudah jika tidak menghadam dengan lebih mendalam akan etika-etika kita dalam menyampaikan maksud penulisan kita kepada masyarakat.

Dalam penulisan itu ada tahap dan peringkat-peringkatnya yang kita harus mulakan dari tingkat bawah lagi agar kita tidak menjadi penyebab kepada sesatnya para pembaca dalam memahami setiap penulisan yang cuba kita lontarkan. Kerana itulah juga wujud satu fenomena penulisan kreatif dalam menyampaikan niat dan maksud kita dalam berdakwah di alam penulisan (Blogger). Tidak kiralah sekiranya penulisan tersebut lebih berkisarkan kepada kisah atau perjalanan kehidupan seseorang individu yang pada pandangan kita ia boleh dijadikan iktibar jua tauladan buat masyarakat di luar sana.

Walaupun pada hakikatnya iktibar dan tauladan yang selayaknya kita kisahkan adalah tauladan para anbia alaihisalam, Itulah harga yang perlu dibayar bila kita berhadapan dengan pelbagai golongan serta lapisan masyarakat yang masih kelam dengan selera masing-masing dalam melayari kehidupan yang sementara ini. Bukankah Islam ini untuk semua? jadi mengapa perlu menjumudkan pandangan kita dalam konteks menyampai dakwah di atas platfrom yang amat luas ini? Tepuk dada tanyalah iman sendiri di tahap manakah kefahaman kita tentang penulisan jika hanya ringan di bibir menghunjamkan segala kritikan berkaitan penulisan orang lain tanpa mengetahui etika penulisan itu sendiri.

Sejujurnya tujuan saya mempublishkan entri ini bukan untuk membunuh semangat rakan-rakan yang lain yang sentiasa berusaha menyampaikan pendapat dan juga segala isu yang dilontarkan sahabat dalam berdakwah melalui penulisan kreatif kepada masyarakat di luar sana. Saya juga masih dikalangan amatur di alam penulisan ini, maka bukanlah saya orang yang selayaknya bercakap tentang cara dan skill rakan-rakan menyampaikan dakwah di alam penulisan yang amat luas dan jauh perbincangannya.

Walau apa pun thomahan juga sebarang kritikan yang diterima, teruskan usaha kalian bagi mendalami ilmu dakwah melalui penulisan yang sememangnya sudah terbukti akan keberkesanannya di dalam kita membimbing masyarakat ke arah yang lebih baik dan diredhoi.

Apabila kita sendiri diuji dengan apa yang sering kita dakwahkan, itu petanda Allah sedang mendidik kita agar melaksanakan apa yang kita perkatakan. Bersyukurlah kerana Allah masih sudi mengingati kita dalam usaha kita mengingati manusia.

Wallahu'alam.

Sunday, June 21, 2009

Buat insan yang bergelar bapa

bismillah wal hamdulillah

Enrti kali ini saya dedikasikan khas buat insan-insan yang bergelar bapa atau apa pun jua frasa yang seangkatan dengannya.

Pesan abah, "walau macam mana pun keadaan abang sekarang atau di masa hadapan kelak..Utamakanlah solat dalam setiap perkara dan keadaan dan jangan sekali-kali meninggalkan kefardhuan tersebut.." Nasihat ini diperolehi ketika saya masih di alam mumaiyiz dan nasihat tersebut juga masih saya terima sehingga ke hari dan saat ini dari seorang insan yang bergelar ayah.

Ketika saya melangkah ke alam yang membuatkan saya lebih banyak berfikir dan mula menafsir kehidupan dari sudut kaca mata saya sendiri yang berpandukan dari setiap pelajaran yang saya perolehi sewaktu kecil hingga ke hari ini, mengertilah saya bahawa setiap pesanan yang diperolehi dari seorang insan yang bergelar ayah itu teramat banyak manfaat yang saya dapat bagi memandu saya mengharungi segala mehnah dan ujian dengan lebih tabah dan faham mengapa segala ujian yang Allah jadikan mesti saya terjemahkan kepada sebuah kehidupan yang lebih bermakna.

Selama akal mula belajar untuk berfikir entah berapa ribu bahkan jutaan nasihat yang saya perolehi dari dia demi anaknya yang tidak dapat diletakkan dengan bilangan angka yang selayaknya untuk diberikan terhadap kasih sayang seorang ayah. Dan pelik juga mengapa hanya nasihatnya tentang solat sahaja yang amat saya ingati bila terkenangkan dia. Mungkin inilah hasil dari didikan seorang insan yang bergelar ayah untuk saya lebih menghargai solat lebih dari segala-galanya di dunia ini.

Yang paling saya kagumi akan kelakuannya juga semasa dia menyampaikan nasihatnya kepada saya, dia tidak memberikan nasihat atau sebarang teguran di hadapan adik-beradik yang lain apatah lagi jiran atau rakan kenalannya. Dia faham akan keadaan sekeliling yang akan saya hadapi bila segala nasihat yang diberikan di lakukan di khalayak ramai walaupun kadang-kadang bagi saya nasihat tersebut tidaklah memerlukan pertemuan antara empat mata. Tapi bagi seorang insan yang lebih memahami kehidupan ini berbanding saya, tetap saya kagumi dan hormati segala apa yang dia lakukan demi kebaikan anaknya.

Dengan keizinan Allah juga kehendakNya juga nikmat nafas yang bersembus tiap saat ini juga adalah disebabkan oleh ayah yang terpaksa mengorbankan salah satu dari jarinya yang saban hari di gunakan untuk mencari rezeki dan menyara kami anak beranak demi menyelamatkan saya dari meninggalkan dia untuk ke alam seterusnya. Kisah dua ramadhan 2002 terlalu panjang untuk saya kisahkan disini, biarlah saya tanamkan kisah itu di lubuk hati bagi membakar semangat seorang pejuang untuk meneruskan misinya di dalam kehidupan yang diimpikan oleh setiap yang mengejar daulah.

Abah, kehidupan yang saya lalui hayat ini tidak akan ada ertinya jika bukan disebabkan oleh semua nasihat yang telah abah berikan untuk saya. Segala jasa dan pengorbanan serta darah yang abah tumpahkan untuk saya hanya balasan dari Allah yang selayaknya abah terima. Moga kita bersama-sama tsabat didalam meneruskan misi kita untuk mencapai apa yang telah dirampas satu ketika dahulu. InsyaAllah saya akan pulang untuk berjuang bersama-sama abah sekirannya ada keizinan yang Allah tetapkan untuk saya berbuat demikian pada dua purnama yang akan datang.

Saturday, June 20, 2009

Selesai Imtihan

Bismillah wal hamdulillah

Segala pujian dan selaut kesyukuran dirafakkan buat Kekasih bagi hamba yang sentiasa berusaha menuju kepada redho dan cinta buat yang selayaknya dicinta Dia lah Tuhan pencipta sekalian yang lain dariNya serta selawat dan salam buat Rasul junjungan dan para sahabat serta ahli keluarga baginda.

Alhamdulillah akhirnya saya dan rakan-rakan yang lain telah selesai melepasi pasca imtihan tahun akhir di bumi shoubra tanpa menhadapi sebarang masalah dan musibah. Pengalaman dan pengajaran dari pasca imtihan ini amat bernilai sekali bagi kami yang bergelar mahasiswa tahun akhir di ardil kinanah penuh barokah ini.segala suka dan duka semasa melalui proses imtihan yang baru sahaja melabuhkan tirainya dua hari yang lepas amat memberikan impak yang besar kepada saya untuk diterjemahkan sebagai entri pembukaan saya selepas pasca imtihan yang lalu.

Ketika ini mungkin segelintir lagi azhari dan azhariah masih berjuang di dalam dunia imtihan mereka yang saya kira hanya berbaki satu atau dua madah sahaja lagi. Bittaufik saya ucapkan, moga kalian beroleh mumtaz saat natijah dikeluarkan kelak.

Satu hari selepas saya selesai imtihan syafawi, seorang rakan saya bertanya pada seorang yang saya kurang kenali dengan soalan sebegini.. "Enta boleh jawab ke semua soalan sheikh bagi kat enta tadi..?" soal rakan saya, "boleh jer.. senang je soalan sheikh bagi kat ana tadi.." Dia membalas dengan riak tenang dan bersahaja sambil melirikkan senyuman buat rakan saya yang bertanya.

Selepas selang beberapa minit dari perbualan mereka berakhir, terus saya berjumpa dengan sahabat yang di soal oleh rakan saya sebentar tadi. Selepas selesai taaruf ringkas dari saya dan rakan baru saya ini saya pun terus bertanya soalan yang sama kepada dia dan jawapan yang sama juga dia berikan kepada saya seperti jawapan kepada rakan saya yang bertanya tadi.

Cuma ada sedikit penambahan dialog selepas jawapan rakan baru saya berikan kepada sebentar tadi, "Tapi ana ternampak enta macam tak boleh jawab je soalan sheikh tadi..? kenapa enta cakap enta boleh jawab kat kawan ana mula-mula tadi.." Begini jawapannya, "Sebenarnya memang ana tak jawab semua pun soalan yang sheikh bagi kat ana tadi.. Dan soalan sheikh tu memang susah.. Dan bila keluar je dari bilik imtihan syafawi tadi, terus ana di soal dengan sahabat kita yang belum pun tiba gilirannya untuk disoal..Sebagai sahabat, ana tak mahu tengok sahabat ana takut dan gelabah bila masuk jumpa sheikh nanti bila ana bagi tahu cerita sebenar kat dia, sebagai ikatan ukhuwah dan ihtiram untuk sahabat la ana rase alangkah lebih baik ana naikkan semangat dia untuk menghadapi syafawi dengan tenang dan yakin bila tiba giliran dia nanti. bukankah itu lebih baik..?" Sambil lirik senyuman ikhlas dia lontarkan untuk saya.

Itulah jawapan yang saya dapat dan ia cukup untuk saya nilai rakan saya ini ialah seorang yang amat menghargai sebuah ikatan ukhuwah yang sesetengah daripada kita juga saya sendiri kurang mengambil cakna akan perkara tersebut.




Maka berakhirlah sudah satu sesi yang kiranya bagi saya ia adalah sesi kerehatan bagi seorang ahli jawatankuasa tertinggi di dalam Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir (BKAWM) sesi 2008/2009. Saya percaya pasti ada beberapa rakan yang berada di situasi yang sama juga akan bersetuju dengan saya. Bukan keluhan yang ingin saya bangkitkan disini apatah lagi cemuhan bila terpundaknya segala amanah yang diberi, cuma inilah diri juga insan lemah yang sentiasa mahukan pelajaran dari setiap kesilapan yang wujud setelah segala usaha untuk mengelakkan kesilapan itu berlaku.

Monday, June 1, 2009

Sampai disini dahulu..



Bismillah wal hamdulillah

Hanya tinggal dua hari dua puluh dua jam dari saat ini saya dan rakan-rakan sekuliah tahun akhir Qiraat Shoubra bakal menduduki peperiksaan terakhir peringkat ijazah sarjana muda. Sedar atau tidak itulah kenyataan yang mesti kami hadapi bagi melihatkan hasil penat jerih kami selama tiga tahun terpisah dari keluarga dan segalanya di perantauan.

Moga imtihan yang bakal dihadapi ini sedikit sebanyak akan memberi pengajaran bermakna buat saya dan rakan-rakan dalam mencari redho ilahi untuk mendidik jiwa dan mematangkan fikiran lantas membuahkan hasil untuk masyarakat Malaysia amnya dan dunia umumnya insyaAllah.

Untuk entri terakhir saya kali ini sehingga berakhirnya pasca imtihan nanti, suka saya mengingatkan akan diri yang alpa juga buat teman-teman diluar sana bahawasanya apa jua matlamat atau kehendak kita dalam kehidupan ini, jangan lah sekali-kali kita pisahkan dengan maksud sebenar kita dalam mencapai redho ilahi.

Sentiasa bajakan ingatan kepada Allah di hati dalam mengiringi setiap amal dan perbuatan, insyaAllah hidup akan terasa lebih bererti dalam menempuh mehnah dan cabaran selagi diri merasa hamba yang kerdil di sisi ilahi.

Alakullihal, Doakan agar semua penuntut Malaysia tahun akhir di bumi shoubra memperoleh natijah yang baik bakal kami terima kelak, insyaAllah amin.

.::Remember Allah All The Time::.

>Doa+Usaha+Tawakkal= kejayaan dalam keredho'an<