Thursday, November 24, 2011

Setahun

Satu tempoh yang singkat telahpun berjaya menghasilkan ribuan kenangan yang terlalu indah untuk diterjemahkan melalui medium yang terbatas fungsi dan kegunaannya. Satu ketika semasa muqaddimah perjalanan ini hendak di teruskan, keyakinan dan keupayaan diri sentiasa menghantui dan merasuk agar binaan yang suci ini dibiarkan tanpa penghuni yang sepatutnya menghuni disitu. Alhamdulillah di atas kefahaman yang berjaya dibekalkan tika berusaha mengenal identiti sendiri dalam sibuk kota yang berhabuk, bahawa perjalanan pastinya terhenti dan binaan semestinya rapuh apabila cinta yang diimpi tidak didasarkan pada cinta yang hakiki.

Formula paling berkesan untuk meneruskan perjalanan yang sememangnya penuh dengan keseronokan ialah bila segalanya tuhan yang maha satu mendasari. Maka, biarlah apa jua dugaan dan cabaran pun yang bertamu, pastinya jernih air mata kesyukuran akan dihidangkan selagi jasad dan nyawa termampu. Karena kekasih kedua kita telahpun meninggalkan pesan dengan kehebatan sabdanya yang mulia,

"Sesungguhnya Allah s.w.t. jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibrail dan berkata: 'Wahai Jibrail, Aku mencintai orang ini, maka cintailah dia!' Jibrail pun mencintainya, lalu Jibrail mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit: 'Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia.' Seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini." (Riwayat al- bukhari)

Dan yakinlah wahai sekalian sang pencinta, jika Allah yang mendasari segala perasaan cinta yang tercipta, maka setiap mereka yang mencintaiNya pastinya akan turut sama mencintai kita. Dan terbinalah binaan yang begitu ampuh untuk digugat dek kebutaan cinta yang menghancurkan. Benar, hakikat langit yang cerah tidak dapat untuk dipertahankan kecerahannya walaupun sifat waja sang mentari mampu mencerahkan segala yang berlawanan dengannya. Inilah kehebatan dan keindahan hikmah yang disembunyikan bila erti kecerahan yang kemas dalam dakapan terasa lebih bernilai setelah berlalunya mendung hitam yang memilukan.

Alhamdulillah... Ternyata kesucian cinta selepas disatukan terasa lebih sempurna bila cinta yang pertama diaulakan lebih dari cinta yang selainNya. Sungguh, jalan cerita selama setahun yang diwarnai bersama, terasa indah bila dibaca dan dihayati semula. Darinya mengertilah bahawasanya kekuatan cinta yang dibina selama setahun ialah hasil dari cinta dua orang hamba buat Penciptanya yang Esa.

Katakanlah: “Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.(Ali imran :31)

*Nukilan istimewa buat insan yang bersama-sama menyintaiNya selama setahun.

0 comments: