Sunday, June 21, 2009

Buat insan yang bergelar bapa

bismillah wal hamdulillah

Enrti kali ini saya dedikasikan khas buat insan-insan yang bergelar bapa atau apa pun jua frasa yang seangkatan dengannya.

Pesan abah, "walau macam mana pun keadaan abang sekarang atau di masa hadapan kelak..Utamakanlah solat dalam setiap perkara dan keadaan dan jangan sekali-kali meninggalkan kefardhuan tersebut.." Nasihat ini diperolehi ketika saya masih di alam mumaiyiz dan nasihat tersebut juga masih saya terima sehingga ke hari dan saat ini dari seorang insan yang bergelar ayah.

Ketika saya melangkah ke alam yang membuatkan saya lebih banyak berfikir dan mula menafsir kehidupan dari sudut kaca mata saya sendiri yang berpandukan dari setiap pelajaran yang saya perolehi sewaktu kecil hingga ke hari ini, mengertilah saya bahawa setiap pesanan yang diperolehi dari seorang insan yang bergelar ayah itu teramat banyak manfaat yang saya dapat bagi memandu saya mengharungi segala mehnah dan ujian dengan lebih tabah dan faham mengapa segala ujian yang Allah jadikan mesti saya terjemahkan kepada sebuah kehidupan yang lebih bermakna.

Selama akal mula belajar untuk berfikir entah berapa ribu bahkan jutaan nasihat yang saya perolehi dari dia demi anaknya yang tidak dapat diletakkan dengan bilangan angka yang selayaknya untuk diberikan terhadap kasih sayang seorang ayah. Dan pelik juga mengapa hanya nasihatnya tentang solat sahaja yang amat saya ingati bila terkenangkan dia. Mungkin inilah hasil dari didikan seorang insan yang bergelar ayah untuk saya lebih menghargai solat lebih dari segala-galanya di dunia ini.

Yang paling saya kagumi akan kelakuannya juga semasa dia menyampaikan nasihatnya kepada saya, dia tidak memberikan nasihat atau sebarang teguran di hadapan adik-beradik yang lain apatah lagi jiran atau rakan kenalannya. Dia faham akan keadaan sekeliling yang akan saya hadapi bila segala nasihat yang diberikan di lakukan di khalayak ramai walaupun kadang-kadang bagi saya nasihat tersebut tidaklah memerlukan pertemuan antara empat mata. Tapi bagi seorang insan yang lebih memahami kehidupan ini berbanding saya, tetap saya kagumi dan hormati segala apa yang dia lakukan demi kebaikan anaknya.

Dengan keizinan Allah juga kehendakNya juga nikmat nafas yang bersembus tiap saat ini juga adalah disebabkan oleh ayah yang terpaksa mengorbankan salah satu dari jarinya yang saban hari di gunakan untuk mencari rezeki dan menyara kami anak beranak demi menyelamatkan saya dari meninggalkan dia untuk ke alam seterusnya. Kisah dua ramadhan 2002 terlalu panjang untuk saya kisahkan disini, biarlah saya tanamkan kisah itu di lubuk hati bagi membakar semangat seorang pejuang untuk meneruskan misinya di dalam kehidupan yang diimpikan oleh setiap yang mengejar daulah.

Abah, kehidupan yang saya lalui hayat ini tidak akan ada ertinya jika bukan disebabkan oleh semua nasihat yang telah abah berikan untuk saya. Segala jasa dan pengorbanan serta darah yang abah tumpahkan untuk saya hanya balasan dari Allah yang selayaknya abah terima. Moga kita bersama-sama tsabat didalam meneruskan misi kita untuk mencapai apa yang telah dirampas satu ketika dahulu. InsyaAllah saya akan pulang untuk berjuang bersama-sama abah sekirannya ada keizinan yang Allah tetapkan untuk saya berbuat demikian pada dua purnama yang akan datang.

0 comments: