Monday, November 21, 2011

Harga sebuah kehidupan

Dalam keadaan dibawah pengaruh sedar, terkadang kita sering mewarnai hakikat sebenar kehidupan dengan andaian yang terlalu signifikan. Mungkin kekerapan ujian yang diredahi tanpa pedoman yang ampuh, membuatkan kita dipengaruhi dengan idea sebegitu. Kemenangan di dalam medan tempur yang tidak terbatas pada sebelah pihak sahaja, semestinya penyebab utama idea tranformasi hijau sering dinilai sebagai idea yang tidak relevan lagi untuk diperjuangkan. Akhirnya, kesudahan yang dihimpit kekecewaan mengajar kita akan erti sebuah kehidupan bila hakikat sebenarnya terbentang luas dibenak minda biarpun semesta keraguan disatukan.

Kegelapan selamanya tidak berupaya menerangi kerana sifatnya yang semulajadi, begitu juga halnya cahaya yang tidak akan mampu untuk meredupkan, apatah lagi menggelapkan dengan sifatnya yang kekal selamanya akan terus sebegitu. Manusia? Sering dan hampir pasti tiap kali terkeliru dan dikelirukan dengan dua unsur utama ini dalam usaha mewarnai kefahaman yang haq mahupun yang batil. Praktikalnya, terlalu nipis untuk dikoyakkan, terlalu senang untuk dipecah dan dihancurkan. Bila kefahaman yang dipelajari hanya digunakan untuk menyelimuti agenda tersembunyi bagi meraih matlamat yang sebenar. Kesannya, jika wujud penghuni diantara langit dan bumi, pastinya mereka turut serta menghujani cacian dan hinaan akan setiap inci langkah yang tercipta dimanapun ia berada.

Setiap perkara ada penyudah dan penyelesaiannya, cuma metod kita dalam mencapai titik hujung perjuangan ini sentiasa berbeza dan bercanggah. Selagi langkah yang dihayun tetap diatas landasan yang sama, biar jutaan metod sekalipun, matlamat ini semestinya kita nikmati bersama tika saat itu tiba. Harga sebuah kehidupan terlalu sedikit untuk difahami dengan penulisan dan pembacaan yang ringkas sebegini, selagimana kefahaman yang sedikit tidak dimuntahkan untuk dijadikan praktikalnya, sekelumit kesalahan pastinya akan di persoalkan bila amanah khalifah yang diberi tidak disempurnakan.

0 comments: