Friday, June 26, 2009

.::Ada apa pada PROTAZ??::.

Bismillah wal hamdulillah

Protaz berasal daripada dua frasa yang tidak asing bagi mana-mana masyarakat Malaysia iaitu PROFESSIONAL dan USTAZ yang pernah menjadi isu di malaysia lewat ini dan masih lagi diperkatakan bagi mereka yang memandang serius akan perkara berkaitan isu PROTAZ.

Seorang sahabat saya menerangkan apa itu yang di maksudkan dengan frasa protaz, Katanya yang dimaksudkan dengan Protaz ialah seseorang yang bukan dari kalangan agamawan berhujjah ataupun menyampaikan sesuatu perkara kepada masyarakat seolah-olah dia juga pernah mendalami ilmu agama seperti ustaz-ustaz yang selayaknya menyampaikan perkara tersebut. Walhal ilmu berkaitan agama yang diperolehi dan disampaikannya kepada masyarakat hanyalah sekadar dari kajian bahan bacaan yang amat banyak dan senang diperolehi di mana-mana kedai buku berdekatan anda.

Ini bermakna anda juga mampu untuk menjadi seorang agamawan dengan hanya membaca bahan-bahan bacaan berkaitan agama dan langsung menyampaikan pandangan anda berkaitan agama kepada masyarakat di sekeliling anda! Juga cukup hanya sekadar memasuki krusus atau apa jua kelas pengajian agama yang hanya memakan masa yang singkat untuk menjadikan seorang Professional kepada ustaz!

Jadi apa gunanya ribuan pelajar malaysia yang bertebaran di segenap pelusuk dunia untuk mendalami ilmu agama islam itu sendiri jika hanya sekadar membuat kajian bacaan sahaja sudah cukup untuk memahami islam dan menyampaikan kepada manusia lain? Hinggakan hasil dari bacaan sahaja si pembaca juga sudah mampu untuk menafsirkan ayat Al-quran mengikut pandangannya dan mengupas beberapa perkara berkaitan hukum dalam islam.

Jika anda seorang doktor atau jurutera atau apa jua profesion selain dari jurusan agama, atas hujjah apakah yang anda ingin tegakkan jika anda mahu berkata-kata segala perkara berkaitan agama? Anda ingin menyebarkan dakwah berkaitan islam kepada masyarakat diluar sana, tetapi ilmu berkaitan agama yang anda pelajari hanya anda perolehi dari bacaan dan tazkirah di surau atau di mana jua platfrom berkaitan agama itu di sampaikan dalam masa yang singkat.

Ada juga yang akan berkata begini, "Kami juga mahu melihat dan mengajak masyarakat di dorong ke arah kebaikan seperti yang telah di syariatkan islam.." Persoalannya, adakah setiap frasa yang saya postingkan diatas menghalang anda berbuat demikian? Tidak sekali-kali bahkan sememangnya saya mengharapkan yang sedemikin kerana anda juga sudah bergelar dai'e jika terdetik di hati anda untuk membuat perubahan ke atas masyarakat kita di malaysia umumnya.

Jadi mengapa setiap frasa di atas terlalu sinikal? ini jawapan saya untuk mereka-meraka yang sudah berjaya bergelar protaz, mungkin juga ada frasa baru yang akan wujud selepas ini iaitu prozah, Professional dan ustazah.

Sahabat yang di rahmati sekalian,
Rahmat dan nusrah Allah sentiasa bersama kalian jika kalian benar-benar ingin melihat islam ini tertegak dan berusaha untuk dilaksanakan syariatnya kepada masyarakat disekeliling kita. Saya juga amat menyanjungi sahabat sekalian jika apa yang sahabat sampai dan sajikan adalah perkara berkaitan islam untuk masyarakat lebih diterima berbanding para agamawan, cuma sahabat harus faham di mana kondisi sahabat bila berkata-kata mengenai islam.

Apakah profesion yang sahabat belajar selama ini membenarkan sahabat semua berhujjah mengenai hukum-hukum dalam islam itu sendiri? Menyampaikan hujjah berkaitan agama dengan tidak mengetahui ayat Quran yang nasakh dan mansukh? Menafsir Quran mengikut pandangan sendiri tanpa mempelajari ilmu yang lima belas itu? Mampukan dengan Islam yang hanya dipelajari dan difahami hasil dari bacaan itu sudah cukup untuk mengubah gaya hidup masyarakat kita?

Persoalannya, adakah mereka yang berprofesionkan selain agama ini sudah hilang daya dalam seni berdakwah bila tidak berkata-kata apa jua perkara yang menyentuh tentang isu hukum dalam islam dan menafsir ayat-ayat Allah? Di manakah rasa takut itu akan wujud bila apa yang kita sampaikan tidak mencapai matlamatnya bahkan menyesatkan masyarakat yang menerima apa jua pandangan kita berkaitan islam?

Sahabat sekalian, ketahuilah bahawa islam itu SYUMUL. Di kalangan professional juga terpundak amanah ini jika mahu mendaulatkan islam di bumi Malaysia atau dimana jua, Tapi ada batasan yang mesti tidak dapat tidak sahabat perlu berjaga dalam menyampaikan islam kepada masyarakat. Amat salah dari segi etika kita dalam berdakwah jika kita menyampaikan sesuatu yang kita bukanlah ahli dalam perkara tersebut. Ditakuti kitalah penyebab akan kerosakan umat yang lewat ini tercari-cari akan indahnya islam itu.

Seorang sahabat saya juga ada mengadu akan isu protaz ini sebentar tadi, katanya: " Wah.. Sekarang ni siapapun sudah boleh mengeluarkan fatwa hasil dari kajian yang diperolehi dari bacaan sahaja! Krusus dua tiga bulan dah boleh jadi ustaz! Kita yang belajar berhadapan dengan sheikh ni pun tak dapat nak buat macam tu lagi kan imran?"

Mahu atau tidak itulah hakikat dan realiti yang saya dan rakan terpaksa hadapi lewat ini. Bertahun kami berusaha bagi menjadi ahli yang faham dalam agama ini untuk disampaikan buat masyarakat satu masa nanti, tiba-tiba timbul isu yang mana islam itu boleh di dapati di kedai-kedai buku sahaja! Isu protaz ini cuba saya jadikan sebagai muhasabah bagi mahasiswa azhari di dalam mencari dan mencapai tahap yang terbaik bagi memahami islam dengan lebih mendalam untuk di sampaikan buat masyarakat kelak.

Sejujurnya entri ini bukanlah cubaan saya untuk mewujudkan jurang dikalangan agamawan dan professional itu sendiri, yang setulusnya tiada beza di antara dua kelompok ini. Hanya membezakan kita adalah ketakwaan terhadap Allah S.W.T. Kita mampu bergerak seiring dalam memandu masyarakat kearah yang lebih baik jika kita tahu di tahap mana kondisi dan etika kita dalam menyampaikan dakwah akan islam yang amat luas pentasnya di dunia ini.
Wallahu'alam.

Firman Allah taala dalam surah An-nisa' ayat 58

إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا

Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya)

P/s : Sila klik sini untuk mengetahui lebih lanjut..

0 comments: